“You think I want to be your
teacher?!”
Aku masih teringatkan ayat itu
walaupun ayat itu diungkapkan semasa zaman persekolahan aku dulu. Ketika itu barangkali
guru kelas aku sakit hati dan kecewa dengan markah ujian kami. Beliau dengan
penuh emosi dan amarahnya memberitahu betapa dia membenci jawatannya sebagai
seorang guru Bahasa Inggeris. Katanya, jika bukan dia tidak dapat menyambung
pelajarannya di bidang perakaunan, mana mungkin dia menjadi seorang guru hari
ini. Sebagai seorang murid yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi,
aku terkesima. Tergamak seorang guru melepaskan marahnya kepada murid-muridnya
apabila dia gagal mendapatkan apa yang dimahukannya. Sedangkan itu keputusannya
sendiri. Aku marah dan kecewa apatah lagi bila beliau bertindak melayan
istimewa kepada murid-murid kegemarannya sahaja dan melayan kami yang
selebihnya seperti sampah masyarakat. Seperti orang yang tiada masa depan.
Tentulah sekali aku tergolong dalam kategori yang selebihnya itu.
Ketika keputusan peperiksaan
diumumkan, beliau mengucapkan tahniah malah mengatakan beliau berbangga dengan
keputusan itu. Satu ciuman di pipi diberikan buatku oleh seorang guru yang
dahulunya tidak pernah mengambil tahu tentang murid-murid selain kegemarannya.
Sekali lagi aku terkesima. Terkesima dengan tindakan yang bagi aku seperti
menjilat ludah sendiri.
Tapi itu semua cerita lama. Aku
tahu tidak wajar untukku mengungkit-ungkitnya kembali. Aku tidaklah berdendam
dengan guru itu, tidak sama sekali.
Cuma aku terkenangkan kisahnya
yang sangat membenci profesyennya sebagai seorang guru sehingga menempelak
murid-muridnya hanya gara-gara beliau tidak dapat menjadi seorang akauntan. Aku
terasa seperti aku berada di situasinya sekarang.
Aku masih belajar dan memaksa
diriku untuk menjadi seorang jurutera awam.